Bernama jadikan Jerayawara Rukun Negara program utama tahunan

15/09/2020 05:09 PM

SEPANG, 15 Sept  -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan mengangkat jerayawara Rukun Negara sebagai acara tahunan bagi menyemarakkan dan memantapkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat negara ini.  

Timbalan Ketua Pengarang Berita Bernama Abdul Rahman Ahmad berkata keputusan itu dibuat susulan sambutan memberangsangkan yang diterima pada program yang pertama kali diadakan tahun ini.

"Kita mahu menganjurkan sambutan Rukun Negara ini pada setiap tahun kerana aktiviti yang diadakan pada tahun ini menampakkan kejayaan. Jadi kita mahu meneruskan lagi program ini pada tahun depan bagi dijadikan sebagai antara program utama Bernama," katanya kepada Bernama selepas majlis penutupan jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara di Dengkil, dekat sini hari ini.

Jerayawara sambutan 50 Tahun Rukun Negara pada tahun ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Bernama dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, bermula 24 Ogos lepas hingga hari ini.

Abdul Rahman berkata jerayawara tersebut telah diadakan di 33 lokasi terpilih di 11 negeri, melibatkan 15 perpustakaan, dua universiti serta 16 sekolah rendah dan menengah.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang jerayawa itu ialah bacaan ikrar, tayangan video, nyanyian lagu, kuiz, sajak, debat, menulis karangan dan ulasan buku selain turut mengedarkan penanda buku dan pelitup muka kepada  pelajar.

Bernama juga menganjurkan Insta Challenge, Rukun Negara Hour (16 Sept), Webinar, E-Treasure Hunt, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Virtual Unity Ride 2020 bersempena sambutan 50 Tahun Rukun Negara itu.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan