Semai rasa cinta negara dahulu sebelum sertai PDRM - Musa Hassan

15/09/2020 08:54 AM

Oleh Anasathia Jenis dan Noraizura Ahmad

KUALA LUMPUR, 15 Sept – “Kalau hendak masuk polis, hati kena cekal, nombor satu kerana sayang dan cintakan negara dan bukan kerana nak cari makan. Kalau nak cari makan, jangan masuk polis,” tegas bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata sikap sayangkan negara itu dapat membentuk anggota untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti sebagai barisan hadapan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

“Siapa yang tidak boleh dibetulkan atau terlibat dalam penyelewengan, berhentilah…cari kerja lain yang boleh buat duit. Pasukan polis tempat orang yang sayangkan negara, yang hendak menjaga negara dengan betul dan menjaga masyarakat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Musa Hassan yang berkhidmat dalam pasukan polis selama 41 tahun mengingatkan generasi muda yang ingin menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus mempunyai jiwa kental dan bukan melihat atas faktor gaji semata-mata. 

"Anggota polis perlu mempunyai semangat sayangkan negara, patriotik...kalau semangat itu tidak ada tiada gunanya, dengan adanya semangat sayangkan negara maka dia (anggota) akan bertindak lebih baik, tidak terlibat rasuah dan integriti akan kekal kerana dia tahu rasuah akan merosakkan keselamatan negara,".

Tegas Musa, ketua bagi setiap unit dan jabatan dalam PDRM juga mesti dilantik dalam kalangan individu yang amanah, ikhlas dan tegas dalam melaksanakan tugas dan bukannya dalam kalangan yang hanya pandai mengampu.

Katanya, mereka perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi hari ini tidak datang sendiri jika tiada pengorbanan daripada anggota pasukan keselamatan yang berjuang untuk negara sehingga ada yang terkorban nyawa demi mempertahankan tanah air. 

Selain itu, jelas beliau, cabaran yang dihadapi anggota PDRM juga berbeza berbanding dahulu seiring dengan kemajuan teknologi dan maklumat seperti penjajahan minda melalui medium internet.

“Ancaman pada masa sekarang lebih luas dan mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan negara berbanding sebelum ketiadaan kemudahan internet,” katanya.

Sementara itu, bagi bekas Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Tan Sri JJ Raj berkata setiap anggota dan pasukan keselamatan negara harus menghayati erti kemerdekaan sepanjang masa dan bukan hanya ketika tiba sambutan berkenaan.

Raj yang merupakan antara warisan sejarawan polis negara berharap agar generasi baharu warga PDRM akan meneruskan perjuangan pasukan berkenaan untuk menegakkan intergriti, amanah dan bertanggungjawab serta membanteras segala bentuk rasuah.

Ujarnya kerjasama antara polis dan masyarakat melalui konsep Kepolisian Komuniti perlu terus dilaksanakan supaya dapat membantu dalam pencegahan jenayah.

Mengimbau kejadian serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Raj yang kini berusia hampir 100 tahun dan selesai menjalani pembedahan mata baru-baru ini berkata peristiwa itu meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadapnya.

Beliau yang ketika itu, Ketua Polis Daerah Pagoh masih dapat mengingat segala peristiwa yang berlaku hampir 50 tahun lalu itu turut sebak dan memberitahu Bernama bahawa ini mungkin temu ramah terakhirnya bersama media memandangkan kesihatan beliau yang tidak begitu mengizinkan.

-- BERNAMA

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan