Pegawai kerajaan perlu kuasai kefahaman Rukun Negara - Ahli akademik

14/09/2020 07:20 PM

SERDANG, 14 Sept -- Rukun Negara perlu dikuasai dengan baik oleh pegawai kerajaan kerana ia adalah payung kepada dasar, aktiviti dan kegiatan perpaduan yang dilaksanakan kerajaan untuk kebaikan rakyat dan negara, kata ahli akademik.

Penasihat Perpaduan kepada Kementerian Perpaduan Negara (KPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar yang dirangka kerajaan perlu menguasai kefahaman mereka terhadap lima prinsip Rukun Negara.

Menurutnya sekian lama dasar yang dirangka kerajaan adalah berasaskan prinsip-prinsip dalam Rukun Negara yang matlamat akhirnya adalah perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, dan termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Kefahaman mesti terbina dalam penghayatan Rukun Negara pada diri orang yang hendak  melaksanakannya (dasar),” katanya ketika menjadi ahli panel Wacana Intelektual Kempen Hayati Rukun Negara dan Semarak Merdeka dengan tema “Lima Dekad Lima Prinsip Rukun Negara: Realiti dan Cabaran” anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu Prof Dr Jayum Anak Jawan  berkata dasar-dasar yang dirangka kerajaan perlu bergerak seiring dengan pelaksana-pelaksana dasar iaitu pegawai kerajaan.

“Dasar sudah bagus, yang menjadi masalah apabila pegawai kerajaan iaitu birokrasi kementerian di peringkat negeri ke daerah, mereka memandai-mandai mentafsirkan dengan sendiri.

“Kerajaan dan pelaksana dasar tidak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hasrat kerajaan, prinsipal Perjanjian Malaysia, dan prinsip perkongsian, keadilan dan kesaksamaan. Dasar dan pelaksanaan perlu seiring,” katanya.

Sementara Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah) Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Prof Madya Dr Jessica Ong Hai Liaw berkata prinsip kelima dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat bagi memastikan perpaduan dapat dicapai.

“Generasi muda sekarang berdepan dengan cabaran dari segi komunikasi di media sosial. Kadang-kadang bila menulis di media sosial kita lupa peradaban dan hari ini kita lihat kes saman-menyaman sering berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan