Tema 'Malaysia Prihatin' bertepatan dengan aspirasi kerajaan

28/07/2020 10:16 AM

PUTRAJAYA, 28 Julai  -- 'Malaysia Prihatin', tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan, bahawa seluruh rakyat Malaysia, turut bersama-sama memerangi musuh pada masa ini iaitu wabak Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata 'PRIHATIN' menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.

Semangat Malaysia Prihatin dizahirkan bukan sahaja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malahan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang merupakan wira tidak didendang, kata beliau.

"Mereka tampil untuk memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Ini petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada di waktu susah apatah lagi dalam waktu senang," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana di sini hari ini.

Muhyiddin berkata semangat ‘Malaysia Prihatin’ juga hendaklah disemarakkan di segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha menamatkan terus wabak COVID-19, tetapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.

"Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

"Kita perlu melakukannya bersama-sama dan dengan keazaman dan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Pada majlis pelancaran tersebut, lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 iaitu  ‘Malaysia Prihatin’ diperdengarkan buat pertama kali oleh Kumpulan Koir Pentarama, diiringi dengan kibaran Jalur Gemilang.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan